Friday, August 28, 2009

ah....dah tak larat

kalian, apabila wanita hamil telah melepasi minggu ke-35
langkah dan geraknya kelihatan berhati-hati. ya, berhati-hati itu satu daripada perkara wajib. tapi kelihatan berhati-hati itu ada banyak sebab

kalian yang mahu tahu, teruskanlah membaca entry ini
sebagai pemilik diri yang sedang melalui situasi itu, ingin aku kongsi sedikit rasa.

apabila melepasi minggu ke-35, tulang belakang wanita hamil akan lentur ke depan menjadikan badannya sedikit tersorong-sorong
pergelangan kakinya mula lemah bukan kerana tulangnya lembik, tapi kerana menahan beban badan yang bertambah berat

lebih menyeksakan lagi, saraf dan urat di sekitar pangkal paha mula tegang dan seakan kejang bila duduk, berdiri atau berjalan terlalu lama
tidur yang lama juga akan mendatangkan mudarat yang hampir sama
kesukaran untuk tidur lena juga menyebabkan keletihan jadi berganda.

tapi kalian kena tahu, setiap kehamilan dan setiap wanita yang akan mengalami situasi yang berbeza-beza
semuanya bergantung kepada cara hidup, pembawaan diri, pemakanan serta jenis pekerjaan yang dilakukan.

kalau wartawan, aku tahu bagaimana rasa peritnya
semalam, hampir dua jam aku kesejukan dan tersangkut dalam kesesakan jalan yang teruk di jalan tun razak. aku menuju ke may tower yang terletak di celah-celah KL, aku redah dan bertahan walaupun hati dan perasaan bagai nak runtuh

melalui fasa begini, hendak bangun, duduk atau baring juga satu masalah
untuk keselesaan insan yang sedang berkongsi nafas ada masanya nafas si ibu yang tersekat-sekat. perut pula bukan sahaja semakin membuncit bahkan semakin memberat

kalian tahu, sebenarnya rasa itu sedang dikongsi bersama
cuma dalam ruang dan rasa yang berbeza
di dalam rahim, si kecil sudah kehabisan ruang untuk diterokai
dunianya gelap dan semakin sempit. setiap masa dia berperang dengan kesempitan ruang rahim yang ketat, yang menyekat pergerakan tubuh kerdilnya
bayangkan betapa sukar hidup terkurung dan terperangkap di dalam sana

dulu dia boleh melepas lenguh dan menendang dinding rahim sesuka hati
kini aktiviti itu semakin berkurang
dia lebih selesa mendakap tubuhnya, menanti detik untuk keluar bila-bila masa
sama seperti ibunya...

kalian
sekejap sahaja lagi, akan terbentang sebuah jalan baru
untuk si ibu dan wanita itu
untuk si kecil dan insan baru
menyedut dan bernafas dalam ruang yang lebih luas, lebih segar
namun tetap ada sekatan tertentu...

nota jari kiri aku: aku bersyukur sebab tak perlu berehat di katil hospital.

No comments: