Wednesday, June 24, 2009

aku tulis diari hidup

satu ketika dahulu
dahulu masa aku di alam sekolah
masa alam kampus
diari adalah sahabat setia
dalam diari berbalut kertas terpakai itulah
aku tulis diari hidup
aku tulis agenda harian
aku tulis rasa kecewa
aku tulis segala kemahuan
aku tulis segala kekhilafan

kemudian, bila tangga-tangga usia semakin kudaki
bila banyak pejabat aku duduki sebagai pekerja
tambah lagi setelah bergelar penulis kota
aku mula lupa
bukan lupa diri tapi lupa kepada diari
buku catatanku bergilir-gilir
ada yang masih tersimpan walau sudah bertahun
ada yang baru semalam dibuka tapi hilang entah di mana

saat ini, aku kembali ingin menulis
mungkin kerana otakku semakin tumpul
untuk ingat segala rasa, segala suasana
kali ini aku yakin
tulisanku tidak akan hilang bersama diari lama

kali ini aku rasa
diari aku akan berada di mana sahaja
di mana ada komputer atau laptop berintenet
di situ aku akan masuk ke ruang peribadi
untuk bercakap dengan hati
meluahkan apa yang terkunci
berkongsi kisah entah dengan siapa

benci makin berganda

mungkin kerana rasa berkuasa
manusia boleh bikin apa sahaja

hanya kerana rasa berkuasa
hanya kerana kau bos
jadi kau rasa engkau hebat
manusia boleh berlagak bisa
padahal kau juga orang biasa

sekarang kau boleh kata apa sahaja
kerana kau ada kuasa
aku faham sangat kerana itu adat dunia
tapi kau harus ingat
bumi ini ibarat roda
hari ini kau di atas
esok lusa masa kau jatuh tertiarap
barulah ada kata paling mujarab
padan muka engkau!

masa itu engkau bakal tahu
langit ini tinggi atau rendah
kalaupun bukan engkau yang terkena
anak pinak, saudara terdekat engkau
pasti akan kau rasa
itupun kalau kau itu manusia
yang dapat merasa
yang ada deria rasa

nota jari kiri: aku diajak makan mangga di penjuru pejabat. aku hargai tapi aku tolak sebab aku tak mahu makan makanan yang dikongsi dengan binatang! sebenarnya aku tak mahu berselisih dengan binatang itu. Astagfirullah.....

Tuesday, June 23, 2009

cuma mampu istigfar

hari ini aku kenal satu spesis insan
insan yang bernama manusia
satu spesis yang kononnya berakal tapi enggan bertimbang-rasa
aku cuma mampu istigfar

mahu aku gelar kau apa
lembaga atau makhluk
ah! amuk amarahku pantas marak
tapi aku masih istigfar
masih aku ingat situasi diri

aku cuma mahu melampiaskan rasa
tapi bukan lampas otak ye!
aku gelar engkau lembaga dua jelmaan
lembaga yang tubuhnya anjing berwajahkan babi
sedangkan hakikatnya engkau hidup dalam munafik
kau bertopengkan kemurnian
persis kaulah wanita Melayu terakhir

barangkali hati kau busuk seperti bangkai
barangkali sebusuk bangkai biawak yang mampus
akibat perutnya dirodok lembing berkarat
aku masih ingat bau busuk itu
bau busuk yang aku temui waktu ke semak mencari kemunting
ketika zaman kanak-kanakku yang riang

hari ini
seharian aku meneguk nafas yang busuk
persis aroma yang pernah menusuk hidungku
aku mual setiap kali kau melintas di depan mata
mahu sahaja aku muntahkan bau itu
bau yang kalau terus kuhidu
pasti akan merosakkan akalku

ah! amarah itu menyala-nyala
aku pendam dan rendam dalam kawah reda
tapi petir tetap menyambar
dan langit yang pagi tadi membiru
tiba-tiba berselimut awan hitam
petir memangggil ribut pun datang
api pun menggila bagaikan taufan

mahu aku teruskan puisi amarahku ini?
aku istigfar lagi
ingat, tubuh yang berkongsi rasa
boleh ada mudarat jika tidak ditahan rasa
aku istigfar lagi

hari ini aku kenal erti busuk
aku kenal hati yang hitam
kalau tidak semua
suku atau separuh hati kau telah mereput dan busuk

sungguh...bukan aku sengaja mahu gelar engkau sebusuk itu
tapi wajah molek kau tidak bisa menipu kehodohan di jiwa
aku tidak ingin kenal orang yang busuk
sungguh aku tidak gemar mengundang nista
tapi kau...
ahhhhhh!!!!!! aku istigfar lagi
(dalam hati, kata aku: "pergilah engkau mampus!")

Sunday, June 21, 2009

pesta cara aku

aku juga ratu pesta
tapi dulu
masa aku muda remaja
era kegemilanganlah katakan
cakaplah ada di mana
di situ pasti kelibatku muncul
kalau tidak untuk bersuka-suka
pasti kerja jadi alasan
itu cara aku
cara aku pergi berpesta

sekarang
perlukah aku berpesta lagi
pesta tanpa kerja
itu sudah cukup satu pesta buat aku
pesta tanpa artikel hutang
itu juga satu pesta

pesta malam indonesia
jumpa padi, dewa, gigi, shiela on 7 atau andra
bukan tempat aku
pesta gig percuma di dang wangi
juga bukan untuk aku
pesta percuma inspirasi di dataran
minta ampun
jangan suruh aku pergi
memandu di daerah itu juga aku jauhi

itu semua bukan kerana aku jenis yang anti pesta
tapi sudah aku katakan
tempat aku bukan di situ lagi
tidak untuk dalam keadaan begini
kalau ditugaskan juga
pasti sudah banyak sumpah seranah aku hambur
entah untuk apa dan kepada siapa

aku juga ke pesta
pesta pulang mengadap si bijaksana
yang mengajak neneknya turun konon untuk menghantarnya pulang
setiap malam begitulah tingkahnya
kemudian meraung minta ditemani entah sampai ke mama
itu juga cara aku merasa pesta
itu kelaziman setiap malam sebelum sampai ke muka rumah

pesta sebenar aku
waktu merebahkan tubuh ke tilam yang empuk
sambil mata ditutup fikiran dibeku
tanpa suara
tanpa keluh
aku mahu berpesta dalam lena tanpa mimpi...
aku butuh pesta yang itu!

Tuesday, June 16, 2009

untuk ayah versi Kosmo!

Mulakan kerja tempohari, aku diberikan tugasan yang menyentuh jiwa. Kena buat artikel tentang hari bapa. Aku nak mengelak tapi gila, mana boleh. Namapun arahan. Sebenarnya aku boleh buat novel tentang ayah. Antara mahu dengan tak mahu je. Gila, mana ada masa sebanyak tu.

Aku pilih Hattan n Jamal, alasannya, aku rasa aku boleh tanya depa pasal soalan tu. Bolehlah, yang susahnya, mana nak korek gambar. Tau-tau sajalah...

Buat punya buat....inilah yang keluar, hasil air tangan untuk intro artikel aku....


Antara sedar atau tidak, balada seorang lelaki bergelar ayah mungkin sudah tercanai begitu. Berbanding wanita bergelar ibu, entah kenapa nama ayah jarang berlagu di teratak jiwa.

Jarang juga ada puisi yang mengagungkan kecintaan anak terhadap ayah bahkan jarang benar ada lagu yang bergema meratapi kasih ayah. Kalau ada pun tidaklah sekerap dendangan buat ibu.

Kenapa agaknya bukankah ayah juga insan teragung dalam carta manusiawi. Sebagai jawapan yang paling nurani, mungkin ketegasan ayah tidak mampu membatasi kelembutan sang ibu. Itulah hakikat atau mungkin juga, sifat lelaki itu secara natural menolak sesuatu yang bersifat sentimental. Tidak mengapa jika kasih padanya tidak dilaungkan asalkan di hati ia teguh bersemi.

Sesungguhnya bapa itu satu anugerah tidak ternilai buat seorang anak. Dia permulaan sebuah kehidupan, dialah juga penjaga yang menjadi kekuatan sebuah keluarga. Tanpanya, si anak berdiri tanpa pegangan, ibarat kapal yang kehilangan nakhoda.

Ayah, abah, papa ataupun abi, masing-masing punya pilihan untuk memilih antara frasa keramat itu sebagai gelaran. Di hati semua, selain ibu, bapalah insan utama, kemuncak murni kemuliaan insan.

Pengorbanan mereka tiada terhingga, bakti mereka tidak terhapus walaupun nun jauh di perbatasan bumi.

(nak tahu apa isi artikel, kenalah baca Kosmo! keluaran Sabtu 20 Jun (rasanyalah)

Saja berkongsi hati....aku interview dan selesaikan artikel tu dengan mata berkaca
jiwa masih parah rupanya
agaknya ini baru permulaan....banyak hari dan banyak tahun lagi jiwa aku akan basah bila sebut nama ayah....

Aku tersedar oleh tulisan sendiri
rupa-rupanya aku sebenarnya jarang melagukan kisah ayah
jarang bersembang panjang dengan ayah
jarang juga telefon kampung semata-mata mahu dengar suara ayah
yang aku call ibuku....aku panggil ibu 'Ma', singkatan mama mungkin...dan ayah, ayahlah...aku orang kampung....sepupu2 sebelah ayah panggil ayah sebagai 'Ku' kononnya kami ni keturunan kerabat2, alah tu citer lama

Betullah, aku jarang bercerita tentang ayah
bahkan itulah (merujuk kpd puisi panggilan untuk ayah) itu bingkisan pertama yang aku lakarkan buat ayah....
kejamnya aku
alpanya aku

Bukan aku tak sayang ayah aku
tapi sebab dalam keluarga aku begitu
ayah untuk dihormati
ibu untuk dikasihi
tapi aku ingat lagi
masa kecil, aku selalu diminta ayah untuk pijak belakangnya
dia kata boleh hilangkan lenguh
biasanya aku ngan adik aku yang jadi mangsa...tengok TV sambil pijak belakang ayah...
aku rindu masa kanak-kanak aku
sebab masa kanak-kanak, aku tak segan silu nak peluk ayah
tak malu nak bertenggek kat paha ayah

Bila dah besar panjang cam gini
aku cuma salam dan peluk ayah masa hari raya
takpun masa balik kampung, itupun masa salam nak balik semula ke KL
kali terakhir, aku peluk ayah masa balik kampung cuti maulidurrasul
itu 3-4 bulan lepas, rasanya bulan Februari 2009
aku dapat rasa lagi ayah genggam tangan aku erat-erat....
tak sangka itu sentuhan terakhir daripada ayah...

Sabtu ini, orang sambut Hari Bapa
sungguh, dalam tradisi keluarga aku
kitorang tak kenal apa itu Hari Bapa
cuma sejak akhir-akhir ini je aku kenal apa itu Hari Bapa
itupun sebab ada kena-mengena ngan kerja

Entahlah, Hari Bapa tahun ini semacam sesuatu
aku semakin bernostalgik, rindukan ayah
hanya Al-Fatihah dan Surah Yassin jadi hadiah
kan kukirimkan tanpa mengira Hari Bapa ayah!

Friday, June 12, 2009

panggilan untuk ayah...

ketika itu matahari petang 31 Mei 2009 sedang condong ke barat
dia ayahku hanya bertemankan anak bongsunya yang masih belum dewasa

dadanya ditusuk sembilu yang entah dari mana
sakitnya terbakar ke segenap rasa
ketika itu
tubuh gagahnya menjadi longlai
dan peluh menjadi banjir di setiap roma kulitnya
dia ayahku sedang nazak
sedang berjuang menyedut dan menghembus nafas terakhir

kata ibuku
waktu itu
dia baru kembali dari hospital
kerna mengadap doktor atas urusan sakit yang sukar sembuh
tapi sudah takdir tuhan yang menemukan mereka
39 tahun mereka bersama dalam suka dan duka
dan 31 mei 2009 mereka juga bersama
dalam resah yang singkat

39 tahun dulu
ayahku yang melafazkan akad
melamar dan mengambil ibuku sebagai isterinya
tapi pada 31 mei 2009
ibuku yang melafazkan syahadat
mengajak dan mengajar ayahku menyebut kalimah Allah
hanya Allah
Ya Allah!
itu lafaz terakhir dari bibir ayah
tanpa sempat berpesan
tanpa kata selamat tinggal
dia menyahut panggilan Allah
panggilan untuk kembali ke tempat asalnya
itu kata ibuku
seorang isteri yang terputus hubungan dunia dengan suaminya

ketika itu aku masih di tengah kota
santaiku dikejutkan satu panggilan
'pulang segera! ayahmu pengsan!'
cukup....
bagiku itu satu petunjuk
seumur hidupku di rantauan
itulah kali pertama panggilan sebegitu datang dari kampung
sakit peningnya, jatuh, demam atau lelah
tidak pernah singgah ke telinga si anak
kecuali ada yang menanyakan khabar

ayah...ibu...
anak-anakmu ini jahil
ampunkan kami
anakmu yang ini juga alpa
dan air mata pun tak bisa kembalikan waktu lalu

bergesa pulang ke kampung
aku membawa harapan yang tipis
mengharap masih ada senyum di bibirnya untuk aku
untuk anak-anaknya
untuk cucu-cucunya
untuk menantu-menantunya
sedangkan aku tahu harapan itu kosong isinya

beratus kilometer
berjam-jam tangisan mengisi perjalanan yang panjang
yang sempat kujamah
hanya tapak kakinya yang dingin
hanya tubuh kakunya sempat kupeluk
dan wajahnya senyum seolah damai menanti kepulangan anak-anak
untuk jadi pengiring perjalanan terakhirnya
ke lembah yang abadi
Al-Fatihah untukmu ayahku...
aku mahu reda walaupun hati bagai disiat

aku pilu ayah
aku lemah ayah
aku pilu Ya Tuhan
aku pilu atas hilangnya kelibat seorang ayah
aku pilu mengenangkan ibu yang sendirian tidurnya
aku pilu melihat masa depan adik yang masih dahagakan kasih ayah
bilakah kepiluan ini akan terhapus

Ya Allah...berikanlah aku kekuatan
seperti mana Kau berikan kekuatan itu kepada ibuku...
pinjamkanlah aku semangat itu
untuk gagah menempuh esok...