Wednesday, June 24, 2009

aku tulis diari hidup

satu ketika dahulu
dahulu masa aku di alam sekolah
masa alam kampus
diari adalah sahabat setia
dalam diari berbalut kertas terpakai itulah
aku tulis diari hidup
aku tulis agenda harian
aku tulis rasa kecewa
aku tulis segala kemahuan
aku tulis segala kekhilafan

kemudian, bila tangga-tangga usia semakin kudaki
bila banyak pejabat aku duduki sebagai pekerja
tambah lagi setelah bergelar penulis kota
aku mula lupa
bukan lupa diri tapi lupa kepada diari
buku catatanku bergilir-gilir
ada yang masih tersimpan walau sudah bertahun
ada yang baru semalam dibuka tapi hilang entah di mana

saat ini, aku kembali ingin menulis
mungkin kerana otakku semakin tumpul
untuk ingat segala rasa, segala suasana
kali ini aku yakin
tulisanku tidak akan hilang bersama diari lama

kali ini aku rasa
diari aku akan berada di mana sahaja
di mana ada komputer atau laptop berintenet
di situ aku akan masuk ke ruang peribadi
untuk bercakap dengan hati
meluahkan apa yang terkunci
berkongsi kisah entah dengan siapa

No comments: