Thursday, January 3, 2008

kala malam bulan mengambang




KMBM Sebuah Filem Noir: Filem Klasik Generasi Urban

Mamat Khalid yang sudah layak rasanya bergelar pengarah prolifik ini, terbaru muncul dengan sebuah karya yang dilihat telah mencetuskan kelainan dalam industri sinema Malaysia. Ini filem kelimanya, selepas Lang Buana, Man Laksa, Rock dan Zombi Kampung Pisang.

Mengenakan judul Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM), sekali dengar, ia tidak lebih sekadar sebuah cerita seram seperti kebanyakan yang berselerak di pasaran.
Sekiranya ada, buangkan jauh-jauh pandangan skeptikal anda terhadap karya Mamat Khalid kerana KMBM ini, bukti Mamat bukan seorang pembikin filem yang ‘kosong’ sebaliknya ‘sarat muslihat’.

Kreativitinya tidak terhalang oleh kritikan yang sebelum ini menggelarkan filemnya sebagai mengarut dan cacar-marba.Di tangan pengarah yang cukup terkenal dengan filem genre komedi ini, KMBM hadir sebagai filem Melayu klasik hitam-putih yang pertama sejak sinema tempatan meninggalkan jalur filem sedemikian pada era Studio Jalan Ampas dan Studio Merdeka, 33 tahun lampau.

Lebih mengujakan, Mamat memilih bentuk penyampaian jenis 'neo-noir' (meniru gaya noir) sebagai ‘wajah’ KMBM.

Dalam kamus filem, noir adalah satu istilah filem era hitam-putih. Ia bukanlah satu genre filem tetapi dikaitkan dengan bentuk penceritaan yang sarat elemen gangsterism, jenayah, misteri dan penyiasatan, biasanya dalam filem-filem klasik Hollywood sekitar 40-an hingga lewat 50-an.

Noir juga membawa perbezaan stail penyampaian dari segi visual, struktur dan gaya naratif, plot, watak-perwatakan dan set yang digunakan serta unsur kritik sosial atau moral yang disampaikan dalam nada berlainan. Ia juga amat berbeza dari segi ton warna dan berperwatakan sinikal.

Sebelum ini, sarjana filem, Dr. Anuar Nor Arai pernah mengarahkan naskhah berjalur sedemikian melalui filem independen Johnny Bikin Filem. Tidak berjaya diketengahkan kepada khalayak, Dr. Anuar mementaskan pula Ronggeng Rokiah, satu-satunya teater noir di Istana Budaya tidak lama dahulu. Itu antara karya tempatan yang paling dekat untuk memperkenalkan filem noir kepada khalayak.

Menelan bajet RM1.5 juta, filem yang melakukan penggambaran di sekitar Lembah Klang dan Tronoh, Perak Februari lepas ini menurut Mamat, telah menempuh kesukaran dan tahap kreativiti berbeza, yang tidak pernah dirasai sejak pembabitan dalam perfileman.

“Kebanyakannya dalam soal teknikal. Paling teruk adalah dari segi pencahayaan. Semuanya kena kembali kepada teori, kami mahu menghasilkan warna hitam putih yang asli, jadi harus menggunakan stok filem yang khusus. Ujian juga dijalankan agar visual yang terhasil nampak autentik,” jelas Mamat selepas pratonton KMBM di ibu negara, Khamis lalu.

Dari segi set dan lokasi, banyak set dalam studio, seperti rumah banglo, kabaret, hotel dan gerabak keretapi dibina semula untuk mendapatkan 'look and feel' filem klasik seperti yang biasa ditonton menerusi filem-filem P. Ramlee.

“Kami juga 'mengadakan' sesuatu yang tiada. Tata rias dan kostum juga harus mengikut era 1950-an. Saya ingin mengikut jejak pengarah zaman Jalan Ampas dulu, ketika era perfileman tidak kenal lagi apa itu CGI (imej janaan komputer). Saya mahu membuat efek sendiri menggunakan kreativiti tanpa bantuan grafik komputer," tegasnya mendedikasikan KMBM terhadap karyawan dan seniman filem Melayu terdahulu yang telah meninggalkan khazanah agung untuk tatapan hari ini.

Mengembalikan ‘darah’ filem Melayu klasik ke dalam KMBM, Mamat secara bijak menggerakkan filemnya secara natural baik dari segi naratif, semangat mahupun rasa.
Semuanya bagaikan sebuah karya klasik yang sempurna dari segi latar, gaya pertuturan, ekspresi dan gerak lakon, teknik suntingan, kostum serta muzik.

Dan sebagai melengkapi asas filem noir itu sendiri, mesti ada watak perempuan cantik yang menjadi femme fatale. Dalam KMBM, watak femme fatale ini dijayakan tiga heroin sekali gus iaitu Umie Aida, Corinne Adrienne dan Avaa Vanja. Pendokong utama KMBM pula dilakonkan aktor versatil, Rosyam Nor.

“Memang awalnya saya mencipta watak Saleh untuk Allahyaraham Hani Mohsin, tetapi Allahyarham tidak sempat bersama kita. Tidak dapat dinafikan, kedua-dua nama ini ada personaliti tersendiri, tetapi persembahan Rosyam telah melebihi apa yang saya jangkakan,” puji Mamat.

Menaruh harapan yang tinggi terhadap karyanya kali iniMamat: "Selain hiburan, saya mengajak khalayak tempatan menghargai filem ini dari sudut yang lebih berseni, terutama dari segi pembikinan filem zaman dahulu.”

Tambahnya lagi: “Jika ada penonton yang berjaya mengesan subplot dan subteks yang ingin saya sampaikan, itu bonus buat mereka. Rasanya penonton sekarang sudah bijak.”
Sementara itu, penerbit eksekutif Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai optimis pelaburan yang dibuat untuk KMBM akan menjanjikan pulangan walaupun agak berisiko.

“KMBM bukan filem noir tulen yang berat dengan tema yang serius seperyi di barat. Kami tidak fikir hanya kerana ia sebuah 'filem lama' penonton tidak mahu ke panggung. Dengan jalan cerita menarik, para pelakon hebat dan pembaharuan yang dibawakan, filem ini memenuhi cita rasa audiens masa kini.

“Pendek kata, ini sebuah filem ‘lama’ dan ‘baru’ yang dapat memenuhi permintaan semua,” beritahu Gaya.

Filem KMBM yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 10 Januari ini turut dibarisi pelakon-pelakon handalan lain seperti Soffi Jikan, Bront Palarae, Farid Kamil, Mohd Hitler Zami, kartunis Soya, Adam Corrie dan David Teoh.

Tidak ketinggalan, veteran filem Melayu, Kuswadinata serta Ruminah Sidek turut diberi penghargaan menyuntik elemen klasik ke dalam KMBM.

SINOPSISKala Malam Bulan Mengambang (KMBM) merungkai misteri kehilangan pemuda di pekan Senduduk Rimbun pada setiap kali purnama menjelang. Misteri bermula apabila tayar kereta Salleh, seorang wartawan yang baru dipecat, tertusuk oleh rangka tangan yang sedang memegang sebilah keris. Saleh terpaksa menghantar keretanya ke bengkel Jongkidin (Farid Kamil) dan bermalam di pekan itu. Sepanjang berada di pekan Senduduk Rimbun, Saleh menyedari penduduk pekan itu seakan-akan ingin mengusirnya dari situ, Salleh pula semakin menghidu misteri yang menyelubungi pekan itu.

Walaupun sudah dipecat tetapi naluri kewartawanan yang sangat kuat dalam dirinya menyebabkan Saleh bertekad menyelesai dan melaporkan kejadian misteri yang berlaku dengan harapan dapat meraih semula kepercayaan daripada majikannya.

Penyiasatan Saleh menemukan dia dengan Che Putih (Umie Aida) wanita misteri yang mencuri hatinya, Miss Rogayah (Avaa Vanja) yang mengajaknya berkahwin dan Dorren Chua (Corinne Adrienne) yang kelihatan seperti musuh dalam selimut.

by divakampung (publish at kosmo! on 2 Dis 08)

No comments: